Pages

Nuffnang

Sunday 3 June 2012

DINOSAURS BERADA DI KUALA LUMPUR


Dinosaurs sedang menyerang Kuala Lumpur. Jangan terkejut sekumpulan dinasaurs sedang beramah mesra dengan pengunjung di Pusat Sains Negara (PSN) yang berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Mei lalu hingga 31 Julai ini. Sama-sama kita mengunjunginya....
Hypsilophodon
Brachiosaurus  and T.rex Dinosaurs

“Mama, kenapa adik tak pernah jumpa pun dinosaur dekat kawasan rumah kita. Yang jumpa hanyalah kucing dan burung saja. Tapi dinosaur tak ada pun,” soal Afiqah yang baru berusia enam tahun kepada mamanya.

Penulis yang berada berhampiran mereka hanya terdiam seketika. Menanti jawapan yang bakal diberikan ibunya itu. Kelihatan si ibu sedang berkira-kira jawapan yang bersesuaian buat si anak.

“Sayang, haiwan raksasa itu sudah pupus berjuta-juta tahun lamanya. Dinosaur itu sudah tiada lagi di muka bumi. Yang tinggal hanyalah fosilnya sahaja,” kata si ibu bersungguh-sungguh.

Afiqah mengangguk seakan faham. Lima minit kemudian mereka berlalu pergi untuk melihat replika haiwan raksasa yang seterusnya. Perbualan ini didengari penulis ketika membuat liputan bersempena Pameran Dinosaurs Live! yang kini berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Mei lalu hingga 31 Julai ini di Pusat Sains Negara (PSN).

Harga tiket yang dikenakan sebanyak RM15 untuk dewasa, manakala kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun ialah RM12. Menghimpunkan sebanyak 30 replika dinosaur yang dipercayai hidup antara 65 hingga 250 juta tahun lalu, sudah pasti ia mengundang keterujaan buat orang ramai terutamanya kanak kanak untuk menyaksikan haiwan gergasi yang terkenal dengan sikap ganas dan bunyi ngauman yang menggegarkan.

Pameran berkenaan dibawakan Cityneon Holdings Limited dengan kerjasama EMS Holdings dan PSN. Antara replika dinosaur yang dipamerkan adalah tyrannosaurus atau T-Rex, spinosaurus, ankylosaurus, deinosuchus, prnithomimus, sinosauropteryx, pachycephalosaurus dan ornithomimus.

Istimewanya Pameran

Dinosaurs Live! ini di mana ia menggunakan sistem animatronik iaitu gabungan kejuruteraan mekatronik untuk merealisasi gerakan dinosaur seperti gerakan kepala, leher, kerlipan mata serta jeliran lidah. Replika berkenaan juga mempunyai sensor di mana setiap kali pengunjung melalui hadapannya, haiwan gergasi itu tiba-tiba akan bergerak dan ini pasti akan membuat pengunjung terkejut.

Saiz sebenar

Perkataan dinosaur atau dinosauria yang diperkenalkan ahli kaji purba Inggeris, Richard Owen pada 1842, berasal daripada perkataan Greek bermaksud reptilia ganas atau cicak ganas.

Perkataan itu digunakan bagi mewakili semua jenis spesies haiwan yang hidup jutaan tahun lalu tetapi sudah pupus. Hingga kini, sebanyak 527 jenis spesies dinosaur dikenal pasti. Saintis percaya ada 1,844 jenis dinosaur wujud suatu ketika dulu. Ada antara hidupan itu adalah herbivor, karnivor dan omnivor yang hidup di darat mahupun lautan serta mampu terbang.

Sebagai manusia, pastinya ada yang berusaha mengimaginasikan bagaimana besarnya dinosaur itu. Mungkin ada yang berkata saiz dinosaur itu besar seperti dalam cerita Ultraman. Ada juga yang tidak dapat menggambarkan bagaimana besar dan tingginya dinosaur itu.

Untuk kepastian, pada pameran Dinosaurs Live!, gambaran replika yang dibawa itu menyamai dinosaur yang sebenar dari segi saiz dan rupa berdasarkan kepada hasil kajian dan arkeologi golongan saintis sebelum ini.

Pengarah PSN, Prof Madya Dr Irmawati Ramli berkata, pengunjung dialu-alukan membawa anak anak untuk berhibur sambil belajar. Walaupun pameran sedemikian nampak seolah-olah bentukhiburan tetapi ia akan menjadi pembelajaran tanpa disedari buat semua.

“Misalnya jika anak bertanyakan mengenai pemakanan dinosaur waktu dulu, tentu ibu bapa akan menerangkannya berdasarkan pemahaman yang ada. Justeru, konteks pembelajaran telah berlaku pada waktu itu,” katanya sambil menambah untuk setiap spesies dinosaur yang dipamerkan terdapat penerangan ringkas tentang habitat, tabiat kehidupan dan pemakanannya.


Aktiviti interaktif

Menyasarkan kedatangan pengunjung seramai 300,000 orang, Dr Irmawati berharap pengunjung memperoleh pengalaman pembelajaran menyeronokkan.

“Dinosaur adalah subjek universal yang dapat menarik perhatian masyarakat selain meningkatkan imaginasi mereka tentang kewujudannya suatu ketika dahulu. Dengan membawa pameran ini ke PSN, ia pastinya menarik perhatian sesiapa sahaja tidak kira latar belakang dan peringkat umur,” jelasnya.
Guru Tabika Perpaduan Kampung Wira Damai, Batu Caves, Gombak, Kuala Lumpur, Siti Khursiah Mohd Johan, 29 berkata, keseronokan jelas terpancar pada wajah kanak kanak tabika berkenaan. Bagaimanapun kata Siti, ada kalangan mereka turut melahirkan ketakutan apabila haiwan gergasi itu bergerak dan mengeluarkan bunyi ngauman yang amat kuat. Ada juga yang menangis apabila menghadapi situasi itu.

“Mereka cuma terkejut sebab tidak pernah lihat haiwan sebesar ini. Saya terangkan mengenai kehidupan dan pola makanan dinosaur kepada mereka. Harap mereka dapat memanfaatkan kunjungan ini,” katanya yang datang bersama 22 peserta berusia lima dan enam tahun, serta diiringi dua guru.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...